Kehidupan adalah anugerah
utama Illahi. Anugerah kehidupan memberi
gambaran kebesaranNya buat kita manusia,
yang wajib kita syukuri dan hargai.
Internet adalah kemudahan buat umat manusia.
Justeru itu, manafaatkan ia untuk
kesejahteraan diri kita dan umat sejagat.
Sentiasalah kita beringat, apa yang kita
lakukan, akan dipertanggungjawabkan pada
kemudian hari.
Gunakan sebaik-baiknya kurnia Allah swt
kepada kita. Halalkan kegunaan akal, hati
dan lidah pada perkara yang bakal membawa
kecemerlangan diri kita dunia dan akhirat.
Kita hidup hanya sekali. Sekali 'pergi' tak
kan kembali. Buat baik berpada-pada, dan
buat jahat JANGAN sekali-kali.
Kewujudan website dakwah2u dengan blog
sebagai wadah untuk meningkatkan nilai diri.
Bermatlamatkan penyatuan ummah dengan
ciri-ciri kemurnian budi dan budaya.
Walaupun, dunia terus maju dengan teknologi,
kita akan terus kekal dengan akhlak dan jati
diri insani.
14 August 2009
Jumaat hari kebesaran umat Islam
JIKA orang Yahudi selalu bermegah dengan hari Sabtu sebagai hari kebesaran mingguan mereka, orang Islam pula dengan hari Jumaat yang disifatkan penghulu segala hari dan hari raya mingguan umat Muslimin.
Jumaat mendapat penghargaan istimewa berbanding hari lain sehingga dalam al-Quran dinamakan satu surah iaitu al-Jumu'ah yang diturunkan di Madinah dengan 11 ayat.
"Wahai orang yang beriman! Apabila diserukan azan untuk mengerjakan solat pada hari Jumaat, maka segeralah kamu pergi (ke masjid) untuk mengingati Allah (dengan mengerjakan solat Jumaat) dan tinggalkanlah berjual beli (pada saat itu) yang demikian adalah baik bagi kamu, jika kamu mengetahui (hakikat yang sebenarnya)." (al-Jumu'ah:9)
Menurut Tafsir Pimpinan Ar-Rahman, ia dinamakan surah al-Jumu'ah (hari Jumaat) kerana pada ayat 9, Allah Taala memerintahkan umat Islam segera ke tempat solat Jumaat sebaik saja mendengar seruan azan serta meninggalkan urusan kerja masing-masing seperti berjual beli.
Kitab itu menerangkan, dalam ayat terbabit Allah Taala menetapkan hari Jumaat sebagai hari besar mingguan bagi umat Muhammad s.a.w serta memerintahkan supaya mengadakan satu solat khusus menandakan kebesaran hari Jumaat menggantikan sembahyang Zuhur.
"Dengan ayat ini dan berikutnya Allah Taala perintahkan umat Islam segera ke tempat solat Jumaat sebaik saja mendengar seruan azan serta meninggalkan kerja masing-masing seperti berjual beli dan kerja lain untuk mendengar khutbah dan mengerjakan solat Jumaat.
"Selesai solat Jumaat, mereka digalakkan untuk meneruskan usaha mencari rezeki sambil mengingati Allah.
"Mereka yang mematuhi ajaran Allah akan beroleh kejayaan dan kebahagiaan di dunia dan akhirat," terang kitab itu.
Nabi s.a.w juga melalui hadisnya ada menjelaskan kemuliaan hari Jumaat sebagai hari raya mingguan umat Islam seperti dalam beberapa hadis yang dinukilkan dari kitab Ihya Ulumiddin karya Imam al-Ghazali.
Diriwayatkan Bukhari dan Muslim dari Abi Hurairah, maksudnya: "Bahawa ahli dua kitab itu (orang Yahudi dan Nasrani), diberikan kepada mereka hari Jumaat, maka bertengkarlah mereka, lalu berpaling daripadanya. Dan diberi petunjuk kita oleh Allah Taala untuk menerima hari Jumaat itu dan dikemudiankan oleh Allah memberikannya kepada umat ini dan dijadikannya menjadi hari raya bagi mereka. Maka adalah umat ini menjadi manusia yang lebih utama didahulukan dan ahli kedua kitab itu menjadi pengikutnya."
Melalui hadis lain Nabi s.a.w bersabda, maksudnya: "Sebaik-baik hari yang terbit padanya matahari ialah hari Jumaat. Pada hari Jumaat, dijadikan Adam a.s., dia dimasuk ke syurga, diturunkan ke bumi, diterima taubatnya, dia meninggal dan berdirinya kiamat. Adalah hari Jumaat pada sisi Allah itu hari kelebihan. Begitulah hari Jumaat dinamakan oleh kalangan malaikat di langit iaitu hari memandang kepada Allah Taala dalam syurga." (Diriwayatkan Muslim dari Abu Hurairah)
Al-Ghazali dalam kitab terbabit berkata, hari Jumaat adalah hari besar dan agama Islam dibesarkan (dimuliakan) oleh Allah dengan sebab hari berkenaan.
Menurutnya, orang Islam dikhususkan dengan hari berkenaan dan diharamkan orang Islam melakukan urusan duniawi, malah setiap perbuatan yang menghalangi mereka daripada menghadiri masjid menunaikan solat Jumaat.
Nabi Muhammad s.a.w bersabda dalam hadis yang bermaksud: "Bahawa Allah Azzawajalla mewajibkan atasmu solat Jumaat pada hariku ini, pada tempatku ini." (Hadis riwayat Ibnu Majah daripada Jabir)
Hadis berkenaan secara tegas memaklumkan kepada orang Islam mengenai kewajipan meraikan keistimewaan hari yang mulia itu dengan melakukan solat Jumaat. Sesiapa yang berkewajipan, tetapi tidak menunaikannya dikira berdosa.
Malah, Rasulullah s.a.w mengingatkan mereka yang sengaja meninggalkannya melalui sabdanya bermaksud: "Sesiapa yang meninggalkan Jumaat tiga kali tanpa halangan, nescaya dicap oleh Allah pada hatinya." (Riwayat Ahmad)
Satu kisah diceritakan. "Datang seorang lelaki kepada Ibnu Abbas, menanyakan mengenai orang yang mati tidak menghadiri Jumaat dan solat Jumaat.
Lalu jawab Ibnu Abbas: "Dalam neraka."
Orang itu berulang kali menemui Ibnu Abbas selama sebulan lamanya, menanyakan yang demikian. Tetapi Ibnu Abbas tetap menjawab: "Dalam neraka."
Daripada hadis yang diriwayatkan Anas daripada Nabi s.a.w bahawa Nabi bersabda: "Datang kepadaku Jibril a.s dan pada tangannya sebuah cermin putih, seraya berkata: 'Inilah Jumaat, yang diwajibkan atas engkau oleh Tuhan engkau, untuk menjadi hari raya bagi engkau dan umat engkau sesudah engkau.'"
Lalu aku berkata: "Apakah yang ada untuk kami pada hari Jumaat itu?"
Jawab Jibril: "Engkau mempunyai waktu yang baik. Sesiapa berdoa padanya kebajikan, nescaya dianugerahkan dia oleh Allah atau dia tiada memperoleh bahagian, maka disimpankan oleh Allah bahagiannya yang lebih besar.
"Atau berlindung ia daripada kejahatan yang telah dituliskan kepadanya, nescaya dilindungi Allah yang lebih besar daripada kejahatan itu. Hari Jumaat adalah penghulu segala hari pada kita. Kita bermohon kepada Allah pada hari akhirat, akan menjadi hari kelebihan."
Lalu aku bertanya: "Mengapa demikian?"
Maka jawab Jibril a.s: "Sesungguhnya Tuhan engkau Azzawajalla telah menjadikan dalam syurga sebuah lembah yang luas, dari kasturi putih. Maka apabila datang hari Jumaat, nescaya turunlah ia dari syurga yang tinggi di atas kerusinya.
Lalu jelaslah ia kepada mereka, sehingga mereka memandang kepada wajahnya yang mulia." (Diriwayatkan as-Syafie dan at-Tabrani daripada Anas, isnad daif)
Dalam hadis lain dinyatakan: "Bahawa tiap-tiap hari Jumaat Allah Azzawajalla mempunyai enam ratus ribu orang yang dimerdekakan dari api neraka."
Pada hadis yang diriwayatkan Anas r.a bahawa Nabi s.a.w bersabda, maksudnya: "Apabila selamatlah hari Jumaat, nescaya selamatlah segala hari."
Bersabda Nabi s.a.w, maksudnya: "Bahawa neraka jahim itu menggelegak pada tiap-tiap hari sebelum tergelincir matahari pada tengah hari di puncak langit. maka janganlah kamu mengerjakan solat pada saat itu, selain hari Jumaat. Maka hari Jumaat itu adalah solat seluruhnya dan neraka jahanam tiada menggelegak padanya."
Berkata Kaab: "Bahawa Allah Azzawajalla melebihkan
Makkah dari segala negeri, Ramadan dari segala bulan, Jumaat dari segala hari dan Lailatul Qadar dari segala malam. Dan dikatakan bahawa burung dan haiwan yang berjumpa satu sama lain pada hari Jumaat mengucapkan: "Selamat, hari yang baik."
Nabi bersabda, maksudnya: "Sesiapa yang meninggal pada hari Jumaat atau malamnya, nescaya dituliskan Allah pahala syahid dan dipeliharakan Allah daripada fitnah kubur."
Di dalam buku Fatwa-fatwa Terkini oleh Syeikh Abdul Aziz bin Abdullah bin Baz, Syeikh Muhammad bin Shalih al-Utsaimin, Syeikh Abdullah bin Abdurahman al-Jibrin dan Syeikh Saleh bin Fauzan al-Fauzan ada menyatakan hari raya yang disyariatkan sudah diketahui kaum Muslimin iaitu Aidilfitri dan Aidiladha serta hari raya mingguan.
Hari raya mingguan yang dimaksudkan itu ialah hari Jumaat. Dengan ini tidak ragu lagi Jumaat adalah hari yang cukup besar dalam Islam.
SAIDATINA Aishah r.a ada berkata, Rasulullah s.a.w bersabda maksudnya: "Semua manusia dalam kelaparan pada hari kiamat kecuali nabi-nabi dan keluarga mereka, juga orang yang berpuasa pada Rejab, Syaaban dan Ramadan. Sesungguhnya mereka dalam keadaan kenyang, tidak lapar dan tidak haus."
Bulan yang dinyatakan dalam hadis terbabit adalah antara yang disebut-sebut banyak kelebihan, sehingga hadis berkenaan menyatakan mereka yang berpuasa tidak akan lapar dan haus pada hari kiamat kelak.
Dalam memberikan penjelasan berkaitan tiga bulan yang berturut-turut itu, ada pihak membuat perumpamaan tahun dengan pohon, iaitu Rejab umpama waktu keluarnya daun, Syaaban diumpamakan keluarnya bunga dan Ramadan umpama buahnya.
Abu Hurairah berkata Rasulullah bersabda yang bermaksud: "Sesungguhnya Rejab bulan Allah dan Syaaban itu bulanku, manakala Ramadan itu bulan umatku." (Riwayat Imam Bukhari dan Imam Muslim).
Ketiga tiga bulan disebut Nabi s.a.w itu adalah bulan rahmat, kasih sayang dan kesejahteraan. Bulan yang penuh keberkatan dan keampunan.
Sesetengah ulama menyatakan bulan Rejab adalah kesempatan untuk meminta ampun daripada segala dosa manakala bulan Syaaban untuk memperbaiki diri daripada
segala macam cela dan Ramadan adalah waktu menyucikan hati dan jiwa.
Syaaban bermaksud berpecah atau bercerai-berai. Ia dinamakan demikian kerana pada bulan itu masyarakat Arab dulu bertempiaran ke serata tempat untuk mencari air, sehingga ada yang mencarinya sampai ke gua.
Ia juga diertikan demikian kerana menjadi 'bulan pemisah' iaitu memisahkan antara bulan Rejab dan Ramadan.
Nabi s.a.w menjelaskan Syaaban mengandungi keutamaan dan kebaikan yang banyak, dengan nilai berganda bagi mereka melaksanakan kebaikan dan ibadat dengan ikhlas dan bersungguh.
Baginda bertanya kepada sahabat, maksudnya: "Tahukah kamu sekalian mengapa bulan ini dinamakan Syaaban?" Mereka menjawab: "Allah dan Rasul-Nya yang lebih
mengetahui."
Baginda menjawab: "Kerana pada bulan ini bercabang banyak kebaikan."
Dengan keutamaan yang ada pada Syaaban ini, Baginda memanfaatkan kesempatan untuk meningkatkan prestasi ibadat dan amal kebaikan sehingga seolah-olah Baginda tidak pernah melakukan sedemikian pada bulan lain.
Nabi s.a.w sendiri sering berpuasa pada bulan ini.
Daripada Saidatina Aishah, beliau berkata maksudnya: "Adalah Rasulullah s.a.w sering berpuasa hingga kami menyangka yang Baginda berpuasa berterusan dan Baginda sering berbuka sehingga kami menyangka yang Rasulullah akan berbuka seterusnya.
"Aku tidak pernah melihat Baginda berpuasa sebulan penuh kecuali pada Ramadan dan aku tidak pernah melihat Baginda berpuasa sunat dalam sebulan yang lebih banyak di bulan Syaaban." (Riwayat Imam Bukhari dan Muslim)
Hadis ini menerangkan kepada umat Islam sekalian, Syaaban memang bulan sangat digalakkan beramal ibadat selain bulan lain, sesuai dengan statusnya sebagai gerbang Ramadan.
Rasulullah s.a.w pernah mengumpamakan bulan Syaaban dengan keutamaan diri Baginda sendiri ke atas nabi lain.
Sabda Baginda bermaksud: "Keutamaan Syaaban ke atas bulan yang lain adalah seperti keutamaan saya di atas semua nabi lain sedangkan keutamaan bulan Ramadan ke atas semua bulan yang lain adalah seperti keutamaan Allah Taala ke atas makhluk-Nya."
Antara amalan yang digalakkan pada bulan Syaaban ialah memperbanyakkan ibadat sunat termasuk puasa, doa, zikir, selawat dan bertaubat daripada kesalahan yang dilakukan.
Walaupun amalan ini sukar, ganjaran yang menanti adalah berganda. Ibadat sunat pada Syaaban juga sebagai persediaan untuk lebih cergas beribadat siang dan malam pada Ramadan.
Syaaban juga adalah bulan di mana setiap doa orang beriman akan dimakbulkan Allah, sebagaimana dinyatakan Abdullah Umar dalam riwayatnya mengenai hadis Nabi iaitu Rasulullah bersabda yang bermaksud: "Antara solat lima waktu yang doanya tidak ditolak ialah sewaktu malam Jumaat, pada malam 10 Muharam, pada malam pertengahan bulan Syaaban dan pada dua malam raya iaitu malam hari raya Aidilfitri dan Aidiladha."
Rasulullah s.a.w bersabda: "Itulah bulan Syaaban di mana manusia lalai mengenainya iaitu antara bulan Rejab dan Ramadan, ia adalah bulan di mana segala amalan diangkat kepada Tuhan pemilik sekalian alam. Maka aku sangat suka sekiranya amalanku diangkat sedangkan pada masa itu aku dalam keadaan berpuasa." (Hadis Riwayat Ahmad)
Dalam sejarah umat Islam, bulan Syaaban juga menyaksikan beberapa peristiwa penting seperti perubahan arah kiblat dari Masjidil Aqsa di Baitulmaqdis ke arah Masjidil Haram di Makkah.
Pada bulan ini juga berlaku peperangan Bani Mustaliq iaitu pada Isnin hari kedua Syaaban tahun ke-5 Hijrah, Rasulullah s.a.w bersama 700 tentera pejalan kaki dan 30 tentera berkuda menuju ke wilayah Bani al-Mustaliq.
Rasulullah s.a.w bersabda, maksudnya: "Sesiapa yang memuliakan Syaaban, bertakwa kepada Allah dan taat kepada-Nya serta menahan diri daripada perbuatan maksiat, Allah mengampuni semua dosanya dan menyelamatkan dia pada satu tahun itu daripada semua bencana dan penyakit."
Hadis : Dari Aisyah r.a katanya:Rasulullah SAW sering berpuasa sehingga kami mengira bahawa baginda akan berpuasa seterusnya. Dan baginda sering berbuka sehingga kami mengira beliau akan berbuka terus. Dan aku tidak pernah melihat baginda berpuasa terus sebulan penuh kecuali pada bulan Ramadhan. Dan aku juga tidak pernah melihat baginda berpuasa sunat dalam sebulan yang lebih banyak daripada puasanya di bulan Syaaban. (al-Bukhari)
Huraian : 1. Syaaban ertinya berpecah atau bercerai-berai. Ia dinamakan demikian kerana orang-orang Arab pada bulan tersebut akan berhijrah ke mana-mana tempat untuk mencari air sehingga ke gua-gua dan sebagainya. Pendapat lain pula mengatakan, sebab diertikan demikian adalah sebagai tanda pemisah iaitu memisahkan di antara bulan Rejab dan Ramadhan.
2. Dari berbagai keterangan ini, yang dapat disimpulkan bagi pengertian bulan Syaaban itu ialah bulan Syaaban adalah masa untuk manusia berebut-rebut mengejar kebajikan sebanyak mungkin sebagai latihan dan persediaan untuk memasuki bulan Ramadhan
3. Sebahagian ahli hikmah menyatakan bahawa sesungguhnya bulan Rejab adalah kesempatan untuk meminta ampun dari segala dosa, bulan Syaaban adalah kesempatan untuk memperbaiki diri dari segala macam celaan dan pada bulan Ramadhan adalah masa untuk menerangkan hati dan jiwa.
4. Di antara amalan-amalan yang digalakkan pada bulan Syaaban adalah :
i. Memperbanyakkan puasa sunat. Di dalam kitab Durratun Nasihin ada menyebut sebuah hadis yang menyatakan bahawa Rasulullah SAW bersabda yang maksudnya : "Sesiapa yang berpuasa tiga hari pada permulaan Syaaban dan tiga hari pada pertengahan Syaaban dan tiga hari pada akhir Syaaban, maka Allah mencatat untuknya pahala seperti pahala tujuh puluh nabi dan seperti orang-orang yang beribadat kepada Allah Taala selama tujuh puluh tahun dan apabila dia mati pada tahun itu maka dia seperti orang yang mati syahid."
ii. Memperbanyak doa, zikir dan membaca selawat kepada Rasulullah SAW. Sabda Rasulullah SAW : "Sesiapa yang mengagungkan bulan Syaaban, bertaqwa kepada Allah, taat kepada-Nya serta menahan diri dari perbuatan maksiat, maka Allah Taala mengampuni semua dosanya dan menyelamatkannya di dalam tahun itu dari segala macam bencana dan penyakit." (Dipetik dari kitab Zubdatul Wa'izhin)
iii. Bertaubat
iv. Meraikan malam 15 Syaaban atau lebih dikenali sebagai malam Nisfu Syaaban di mana sunat ia dihidupkan dengan membaca zikir dan Al Quran kerana malam tersebut adalah malam yang amat mustajab dan penuh rahmat.
Hadis : Dari Salim bin Abdillah bin Umar dari ayahnya r.a bahawasanya Rasulullah SAW telah memberi sesuatu kepada Umar bin al-Khattab. Maka Umar berkata : "Berikanlah kepada orang yang lebih fakir daripada aku." Nabi bersabda: "Ambillah lalu kembangkan atau engkau sedekahkan. Sesuatu yang datang kepada mu dari harta ini sedangkan engkau tidak mengharap dan tidak memintanya maka ambillah dan sesuatu yang tidak datang kepada mu maka janganlah engkau ikutkan diri mu pada sesuatu itu." (Muslim)
Huraian : Masyarakat moden sekarang lebih mudah dan senang bersedekah. Ini bersesuaian dengan peredaran masa yang membolehkan kita bersedekah menggunakan potongan melalui bank serta yang terbaru bersedekah atau menderma menggunakan sistem perkhidmatan pesanan ringkas (SMS) menerusi telefon mudah alih. Al-Quran menyebut yang maksudnya: "Sesungguhnya sedekah-sedekah (zakat) itu hanyalah untuk orang-orang fakir, dan orang-orang miskin dan amil-amil yang mengurusnya dan orang-orang mu'allaf yang dijinakkan hatinya dan untuk hamba-hamba yang memerdekakan dirinya dan orang-orang yang berhutang dan untuk dibelanjakan pada) jalan Allah, dan orang-orang musafir (yang keputusan dalam perjalanan). (Ketetapan hukum yang demikian itu ialah) sebagai satu ketetapan (yang datangnya) dari Allah. Dan (ingatlah) Allah Maha Mengetahui lagi Maha Bijaksana." (at-Taubah:60).
Pada zaman ini tidak hairan jika dikatakan ramai manusia sanggup menipu untuk mendapatkan sedekah. Sebaliknya amat menghairankan dan jarang-jarang berlaku orang yang menolak sedekah sedangkan keadaan fizikal dan hidupnya amat memerlukan. Mereka tidak meminta jauh sekali ingin mendesak dalam mendapatkan sesuatu daripada orang lain. Dalam hal ini Islam sesungguhnya amat menggalakkan kita agar berusaha sedaya upaya untuk mencari rezeki untuk menyara kehidupan dan Islam tidak menggalakkan kita meminta sedekah. Namun seandainya sesuatu itu datang tanpa diduga atau diminta ia dianggap sebagai pemberian dan rezeki daripada Allah SWT. Terimalah ia dengan penuh kesyukuran mudah-mudahan rezeki itu akan bertambah bahkan membolehkan kita bersedekah pula kepada orang lain. Kata orang ‘tangan yang di atas itu lebih baik daripada tangan yang di bawah." Dengan perkataan lain Islam menggalakkan kita bersedekah namun Islam tidak sekali-kali menggalakkan kita menjadi orang peminta sedekah.
"Sampaikanlah Pesananku Kepada Umatku Yang
Lain Walaupun Dengan Sepotong Ayat"
Disini saya sediakan satu borang untuk sahabat-sahabat disini
menyebarkan ilmu kepada rakan-rakan lain. Semoga kita mendapat
keberkatan dan ganjaran dari Allah. klik disini untuk sebarkan ilmu
agama islam, soal jawab agama, ceramah agama, ceramah islam, download
ceramah agama,koleksi tazkirah, tazkirah agama, tazkirah islam, kisah
rasul, kisah nabi, audio, video, radio agama, dakwah islam, dakwah agama
Laman istimewa
•
Cerpen,
novel, cerita online terbaik, khas utk peminat cerpen dan novel.
mempunyai lebih daripada 10,000 cerpen dan novel untuk anda baca. Anda
tidak akan kecewa dengan penulisan karya dari laman ini, layari di
laman
•
tip
kehidupan, zodiak, petua, puisi, rahsia-rahsia
ke]hidupan dibongkar, pantun dan pelbagai artikel
menarik layari di
http://istimewa2u.blogspot.com
•
Radio
streaming online, Tv streaming online, surat khabar
online, radio era, radio hot.fm, radio hitz, tv1, tv2,
tv3, ntv7, tv8, tv9, harian metro, berita harian, utusan
malaysia, the star dan lain-lain lagi layari di
http://mymedia2u.blogspot.com
•
Koleksi cerita &
video kelakar, lucu, lawak. untuk gelak &
hiburkan hati anda. Kelakarnya layari di laman
ini.
http://kelakar2u.blogspot.com
Malaysia Blogger
Info Tetamu
Dakwah, Tazkirah, Ceramah Online proudly powered by Blogger.
Google INC