Kehidupan adalah anugerah
utama Illahi. Anugerah kehidupan memberi
gambaran kebesaranNya buat kita manusia,
yang wajib kita syukuri dan hargai.
Internet adalah kemudahan buat umat manusia.
Justeru itu, manafaatkan ia untuk
kesejahteraan diri kita dan umat sejagat.
Sentiasalah kita beringat, apa yang kita
lakukan, akan dipertanggungjawabkan pada
kemudian hari.
Gunakan sebaik-baiknya kurnia Allah swt
kepada kita. Halalkan kegunaan akal, hati
dan lidah pada perkara yang bakal membawa
kecemerlangan diri kita dunia dan akhirat.
Kita hidup hanya sekali. Sekali 'pergi' tak
kan kembali. Buat baik berpada-pada, dan
buat jahat JANGAN sekali-kali.
Kewujudan website dakwah2u dengan blog
sebagai wadah untuk meningkatkan nilai diri.
Bermatlamatkan penyatuan ummah dengan
ciri-ciri kemurnian budi dan budaya.
Walaupun, dunia terus maju dengan teknologi,
kita akan terus kekal dengan akhlak dan jati
diri insani.
16 September 2007
Salah paham ketika puasa
PADA pandangan saya, kita boleh mengatakan bahawa objektif atau sasaran yang perlu dicapai oleh umat Islam sepanjang Ramadan terbahagi kepada dua yang paling utama, iaitu takwa dan keampunan.
Perihal objektif takwa ini disebut dengan jelas di dalam ayat 183 surah al-Baqarah manakala objektif ‘mendapatkan keampunan’ ternyata daripada hadis sahih mengenai Sayiditina Aisyah ra yang bertanya kepada Rasulullah SAW doa yang perlu dibaca apabila sedar sedang mendapat Lailatul Qadar.
Maka doa ringkas yang diajar oleh Nabi SAW adalah doa meminta keampunan Allah SWT.
Bagaimanapun, kemampuan untuk mendapatkan kesempurnaan pahala Ramadan sering tergugat akibat kekurangan ilmu dan keprihatinan umat Islam sekarang. Antara yang saya maksudkan adalah:
Makan dan minum dengan bebas selepas batal puasa dengan sengaja (bukan kerana uzur yang diterima Islam). Perlu diketahui bahawa sesiapa yang batal puasanya dengan sengaja tanpa uzur seperti mengeluarkan mani secara sengaja, merokok, makan dan minum, dia dilarang makan dan minum lagi atau melakukan apa juga perkara yang membatalkan puasa yang lain sepanjang hari itu. (Fiqh As-Siyam, Al-Qaradawi, hlm 112).
Ia dikira denda yang pertama baginya, selain kewajipan menggantikannya kemudian. Keadaan ini disebut di dalam hadis: “Sesungguhnya sesiapa yang makan (batal puasa) hendaklah ia berpuasa baki waktu harinya itu.” (Riwayat al-Bukhari).
Makan sahur pada waktu tengah malam kerana malas bangun pada akhir malam. Jelasnya, individu yang melakukan amalan ini terhalang daripada mendapat keberkatan dan kelebihan yang ditawarkan oleh Nabi SAW, malah bercanggah dengan sunnah baginda.
“Sahur’ itu sendiri daripada sudut bahasa adalah waktu terakhir pada hujung malam. Ulama pula menyebut waktunya adalah satu perenam (1/6) terakhir malam. (Awnul Ma’bud, 6/469)
Imam Ibn Hajar menegaskan, melewatkan sahur lebih mampu mencapai objektif yang diletakkan oleh Nabi SAW. (Fath al-Bari, 4/138)
Bersahur dengan hanya makan dan minum saja tanpa ibadah lain. Ini satu lagi kesilapan umat Islam kini, waktu berkenaan pada hakikatnya antara waktu terbaik untuk beristigfar dan menunaikan solat malam.
Firman Allah ketika memuji orang Mukmin, ertinya: “Dan ketika waktu-waktu bersahur itu mereka meminta ampun dan beristighfar.” (Az-Zariyyat: 18)
Ditanya kepada Nabi (oleh seorang sahabat): “Wahai Rasulullah, waktu bilakah doa paling didengari (oleh Allah SWT)?” Jawab Nabi: “Pada hujung malam (waktu sahur) dan selepas solat fardu.” (Riwayat At-Tirmidzi, no 3494, Tirmidzi & Al-Qaradhawi: Hadis Hasan; Lihat Al-Muntaqa, 1/477)
Menunaikan solat witir sejurus selepas tarawih. Menurut dalil sahih, waktu terbaik bagi solat witir adalah penutup segala solat sunat di sesuatu hari itu berdasarkan hadis ertinya: “Jadikanlah solat sunat witir sebagai solat kamu yang terakhir dalam satu malam.” (Fath al-Bari, no 936)
Sememangnya tidak salah untuk melakukan witir selepas tarawih, cuma jika seseorang itu yakin akan kemampuannya untuk bangun bersahur dan boleh melakukan solat sunat selepas itu, lebih elok ia melewatkan witirnya pada akhir malam.
Tidak menunaikan solat ketika berpuasa. Ia satu kesilapan yang ‘maha’ besar. Memang benar, solat bukanlah syarat sah puasa.
Namun, ia rukun Islam yang menjadi tonggak kepada keislaman seseorang. Justeru, ‘ponteng’ solat dengan sengaja akan menyebabkan pahala puasa seseorang itu menjadi ‘kurus kering’ pastinya.
Tidak mengutamakan solat Subuh berjemaah sebagaimana tarawih. Ini jelas satu kelompongan yang ada dalam masyarakat ketika berpuasa.
Ramai yang lupa dan tidak tahu kelebihan besar semua solat fardu berbanding solat sunat, terutamanya solat Subuh berjemaah yang disebutkan Nabi SAW bagi orang yang mendirikannya secara berjemaah, maka beroleh pahala menghidupkan malam.
Menunaikan solat tarawih di masjid dengan niat inginkan meriah. Malanglah mereka kerana setiap amalan dikira dengan niat, jika niat utama seseorang itu hadir ke masjid untuk meriah dan bukan atas dasar keimanan dan mengharap ganjaran reda Allah sebagaimana ditetapkan oleh Nabi SAW di dalam hadis riwayat al-Bukhari. Maka, “Sesungguhnya sesuatu amalan itu dikira dengan niat.”
Bermalasan dan tidak produktif dalam kerja pada siang hari dengan alasan berpuasa, sedangkan kerja yang kita lakukan di pejabat dengan niat ibadat pasti menambah lagi pahala. Justeru, umat Islam sewajarnya mengaktifkan produktiviti mereka dan bukan mengurangkannya pada Ramadan.
Memperbanyakkan tidur pada siang hari dengan alasan ia ibadat. Sedangkan Imam As-Sayuti menegaskan bahawa hadis yang menyebut mengenai tidur orang berpuasa itu ibadat adalah lemah. (Al-Jami’ as-Soghir; Faidhul Qadir, Al-Munawi, 6/291)
Menganggap waktu imsak sebagai ‘lampu merah’ bagi sahur. Ini kerana waktu imsak sebenarnya tidak lain hanya ‘lampu amaran oren’ yang dicadangkan oleh beberapa ulama demi mengingatkan bahawa waktu sahur hampir tamat.
Ia bukan waktu tamat untuk makan sahur, tetapi waktu amaran saja. Lalu, jangan ada yang memberi alasan lewat bangun dan sudah masuk imsak lalu tidak dapat berpuasa pada hari itu.
Waktu yang disepakati ulama sebagai waktu penamat sahur adalah sejurus masuk fajar sadiq (subuh). (As-Siyam, Dr Md ‘Uqlah, hlm 278)
Wanita bertarawih beramai-ramai di masjid tanpa menjaga aurat. Ini nyata apabila ramai wanita walaupun siap bertelekung ke masjid, malangnya kaki dan aurat mereka kerap terdedah dan didedahkan berjalan dan naik tangga masjid di depan jemaah lelaki. Ketika itu, fadilat mereka solat di rumah lebih tinggi daripada mendatangkan fitnah buat lelaki ketika di masjid.
Memasuki Ramadan dalam keadaan harta masih dipenuhi dengan harta haram, sama ada terbabit dengan pinjaman rumah, kad kredit, insurans, pelaburan dan kereta secara riba. Ini sudah tentu memberi kesan nyata kepada kualiti ibadah pada Ramadan.
Ini kerana, status orang terbabit dengan riba adalah sama berperang dengan Allah dan Rasul-Nya, tanpa usaha untuk mengubahnya dengan segera pada bulan ‘tanpa Syaitan’ ini, bakal menyaksikan potensi besar untuk gagal terus untuk kembali ke pangkal jalan pada bulan lain.
Nabi Muhammad SAW menceritakan: “Menyebut mengenai seorang pemuda yang bermusafir dalam perjalanan jauh, hal rambutnya kusut masai, mukanya berdebu di mana dia mengangkat tangan ke langit: Wahai Tuhanku... wahai Tuhanku... sedangkan makanannya haram, minumannya haram dan pakaiannya haram. Dan dia dibesarkan dengan memakan makanan haram, maka bagaimana Kami mahu mengabulkan doanya.” (Riwayat Muslim, no 1015, 2/703; hadis sahih)
Justeru, bagaimana Allah SWT mahu memakbulkan doa orang yang berpuasa sedangkan keretanya haram, rumahnya haram, kad kreditnya haram, insuransnya haram, simpanan banknya haram, pendapatannya haram?
Benar, kita perlu bersangka baik dengan Allah, tetapi sangka baik tanpa meloloskan diri daripada riba yang haram adalah penipuan, kata Imam Hasan Al-Basri.
Tidak memperbanyakkan doa ketika berpuasa dan berbuka. Ini satu lagi jenis kerugian yang kerap dilakukan umat Islam.
Nabi SAW menyebut: “Tiga golongan yang tidak ditolak doa mereka, pemimpin yang adil, individu berpuasa sehingga berbuka dan doa orang yang dizalimi.” (Riwayat At-Tirmizi, 3595, Hasan menurut Tirmizi. Ahmad Syakir: Sahih)
Selain itu, doa menjadi bertambah makbul ketika ingin berbuka berdasarkan hadis. Ertinya: “Sesungguhnya bagi orang berpuasa itu ketika berbuka (atau hampir berbuka) doa yang tidak akan ditolak.” (Riwayat Ibn Majah, no 1753, Al-Busairi: Sanadnya sahih)
"Sampaikanlah Pesananku Kepada Umatku Yang
Lain Walaupun Dengan Sepotong Ayat"
Disini saya sediakan satu borang untuk sahabat-sahabat disini
menyebarkan ilmu kepada rakan-rakan lain. Semoga kita mendapat
keberkatan dan ganjaran dari Allah. klik disini untuk sebarkan ilmu
agama islam, soal jawab agama, ceramah agama, ceramah islam, download
ceramah agama,koleksi tazkirah, tazkirah agama, tazkirah islam, kisah
rasul, kisah nabi, audio, video, radio agama, dakwah islam, dakwah agama
Laman istimewa
•
Cerpen,
novel, cerita online terbaik, khas utk peminat cerpen dan novel.
mempunyai lebih daripada 10,000 cerpen dan novel untuk anda baca. Anda
tidak akan kecewa dengan penulisan karya dari laman ini, layari di
laman
•
tip
kehidupan, zodiak, petua, puisi, rahsia-rahsia
ke]hidupan dibongkar, pantun dan pelbagai artikel
menarik layari di
http://istimewa2u.blogspot.com
•
Radio
streaming online, Tv streaming online, surat khabar
online, radio era, radio hot.fm, radio hitz, tv1, tv2,
tv3, ntv7, tv8, tv9, harian metro, berita harian, utusan
malaysia, the star dan lain-lain lagi layari di
http://mymedia2u.blogspot.com
•
Koleksi cerita &
video kelakar, lucu, lawak. untuk gelak &
hiburkan hati anda. Kelakarnya layari di laman
ini.
http://kelakar2u.blogspot.com
Malaysia Blogger
Info Tetamu
Dakwah, Tazkirah, Ceramah Online proudly powered by Blogger.
Google INC